Home »

Sep 19, 2014

Bank susu

Kerajaan berpegang kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu membabitkan program Bank Susu yang kini terbantut kerana isu pertalian antara wanita dan bayi yang meminum susunya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, apa sahaja isu yang timbul atau berbangkit, ia akan dirujuk kepada majlis tersebut.

"Kita tengok nanti kepada fatwa dan apa-apa hal kita merujuk kepada fatwa dahulu," katanya kepada sidang akhbar selepas majlis Multaqa Guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Takmir dan Imam-imam Rawatib peringkat negeri di sini hari ini.

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan dilaporkan memutuskan bahawa bayi yang menghisap susu orang lain dan sebagainya, dengan syarat susu itu masuk melalui mulut, bayi tersebut menjadi anak susuan kepada pemilik susu.

Bagaimanapun, kelmarin Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, perlaksanaan program Bank Susu bagi menyimpan bekalan susu badan untuk menyelamatkan bayi pramatang tidak bersalahan dengan hukum Islam, malah ia juga tidak menjadikan bayi yang menerima susu itu sebagai anak atau 'mahram' penderma.

Jelasnya, konsep ibu dan anak susuan memerlukan kepada 'rada'ah' iaitu penyusuan secara langsung daripada payu dara wanita kepada bayi sebagaimana disebut dalam nas al-Quran dan hadis.

Justeru, Juanda menegaskan, pengambilan susu melalui botol atau mana-mana kaedah lain tidak akan menjadikan wanita dan bayi tersebut mempunyai pertalian disisi syarak yang boleh menimbulkan masalah dan kekeliruan jika konsep Bank Susu dilaksanakan.

Dalam pada itu, Jamil berkata, bagi menangani masalah sebahagian guru KAFA di negeri ini yang dikatakan tidak memiliki kemampuan mengajar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memperkasakan lagi latihan kepada guru-guru terbabit.

"Mungkin kaedah pendidikan perlu diperkemaskan dan ini memerlukan kepada pendekatan yang lebih baik daripada JAKIM sebagai penggerak utama membimbing guru KAFA,"ujarnya

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, Jumaat, 21 Oktober 2011

Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...